Isnin, 24 September 2012

PERJALANAN HIDUP MANUSIA



Perjalanan hidup manusia tidak selalu mudah untuk dijangka. Tidak ada jaminan bahawa mereka yang sudah berjaya akan selamanya berjaya. Demikian juga mereka yang nasibnya kelihatan begitu buruk, boleh jadi keadaannya menjadi lebih baik pada masa-masa akan datang. Oleh itu, kita tidak boleh berputus asa ketika mengalami kesusahan hidup, dan juga jangan berasa aman jika kehidupan kita berada dalam kesenangan dan kejayaan.
   Apabila dilanda ujian hidup yang sangat berat, kita perlu memberikan secebis harapan bagi diri kita sendiri terhadap peluang datangnya kebaikan pada kemudian hari. Demikian juga apabila hidup kita selesa dan berjaya, jangan sampai kita kehilangan sikap hati-hati dan berhemat terhadap kemungkinan yang buruk pada masa-masa akan datang.

“ Kisah David Pelzer, sebagaimana yang dia tuturkan sendiri melalui trilogi bukunya, A Child Called It, The Lost Boy, dan A Man Named Dave, Pelzer mengisahkan perjalanan awal hidupnya yang amat tragis dan kehidupannya setelah itu. Dia merupakan korban penderaan kanak-kanak (child abuse) kedua terburuk di Amerika Syarikat.
Sejak kecil dia menjadi sasaran penganiayaan oleh ibunya sendiri. Setiap orang yang membaca kisahnya akan berasa susah untuk membayangkan betapa seorang ibu boleh bersikap begitu jahat pada anak kandungnya sendiri.
Pelzer kecil tidak diperlakukan sebagai seorang manusia oleh ibunya sendiri. Dia dipanggil dengan sebutan ‘it’ kata ganti bahasa inggeris untuk benda atau haiwan. Saban hari dia diseksa, tidak diberi makan (kadang-kadang diberi makanan sisa dari tempat sampah). Dia pernah dikurung didalam bilik mandi yang diisi bahan kimia yang nyaris membuatnya mati keracunan. Wajahnya pernah dibenamkan dalam lampin adiknya yang masih bayi yang penuh najis sehingga najis itu masuk tertelan ke dalam mulut dan hidungnya. Pernah juga dia ditusuk pisau dan dibiarkan luka dan kesakitan selama berhari-hari tanpa rawatan.
Pelzer kecil mengalami semua seksaan itu tanpa dapat memahami apa yang sebenarnya terjadi. Dia tidak memahami mengapa ayahnya tidak pernah membelanya dan selalu kalah setiap kali bertengkar dengan ibunya. Dia juga tidak mengerti mengapa dia diperlakukan secara berbeza dengan saudara-saudaranya dan mengapa dirinya sahaja yang selalu menjadi korban tabiat buruk ibunya. Sebagai anak yang masih kecil, dia sama sekali tidak mengerti. Yang dia tahu dan cuba lakukan hanyalah berusaha untuk bertahan, berusaha untuk tetap hidup.
Dia membesar menjadi seorang anak yang aneh. Pergi ke sekolah tetapi tidak mampu bergaul dengan teman-temannya. Pakaiannya lusuh dan tidak terurus. Dia juga terbiasa mencuri makanan murid-murid lain (demi memenuhi rasa laparnya) yang membuat dia semakin dibenci dan dijauhi. Pelzer menjalani semua itu sampai awal usia belasan ketika salah seorang gurunya melihat badannya yang penuh bekas luka. Petugas sosial, melalui keputusan mahkamah, kemudian memisahkan Pelzer daripada ibu bapanya.
Apakah permasalahannya sudah selesai?..Apakah seorang anak yang bertahun-tahun menjadi korban penderaan  akan berubah menjadi baik dan berjaya hanya dengan dipisahkan daripada ibu bapanya?.. Tentu sahaja tidak. Pelzer melalui masa-masa yang sukar. Perilakunya masih aneh dan ganjil dan beberapa orang ibu bapa angkatnya terpaksa menyerah dan mengembalikannya ke lembaga sosial untuk dicarikan ibu bapa angkat yang baru. Tetapi pada akhirnya dia dapat melalui semua itu.
Pelzer kemudian menyertai Angkatan Udara Amerika Syarikat. Pada tahun-tahun kebelakangan dia juga menjadi penceramah seminar dan seorang motivator, menulis beberapa buah buku, dan memperolehi beberapa penghargaan atas prestasinya. Keadaannya berubah sepenuhnya. Anak yang mengalami ‘neraka dunia’ pada masa kecilnya ternyata mampu meraih kejayaan pada masa dewasanya.”

Nasib manusia memang susah untuk dijangka. Oleh kerana itu, kita tidak perlu berasa irihati dengan keberuntungan orang lain. Jalani sahaja kehidupan kita sendiri dengan tuntunan Islam.
Kalau nasib kita kurang beruntung, maka bersabar sahaja dan jangan hilang harapan. Dan kalau hidup kita penuh nikmat dan bahagia, maka banyak-banyaklah bersyukur serta tetap waspada akan kemungkinan datangnya musibah setelah itu. Insya’Allah semuanya akan menjadi baik bagi kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan